Bahasa Malaysia

Teknik Pemasaran Dengan Media Sosial

Pemasaran menggunakan media sosial sebenarnya tidak lebih daripada sekadar satu platform yang mampu membantu anda dalam tiga perkara.

LinkedIn, Facebook, Instagram, Twitter, YouTube, Snapchat dan Pinterest adalah platform media sosial yang paling popular di Malaysia. Manakala platform mesej segera yang terkenal pula ialah WhatsApp, Telegram, WeChat dan lain-lain lagi. Jadi, jangan keliru.

Kita berbalik kepada media sosial. Untuk ‘bermain’ di media sosial dengan lebih baik dari perspektif pemasaran, anda perlu terlebih dahulu faham di mana posisi media sosial dalam keseluruhan strategi pemasaran.

Pemasaran menggunakan media sosial sebenarnya tidak lebih daripada sekadar satu platform yang mampu membantu anda dalam tiga perkara. Pertama, ia sangat efektif dalam menyebarkan kandungan seperti artikel, poster dan video kepada orang ramai dengan cepat dan mudah. Kedua, ia juga sangat efektif dalam membantu anda berinteraksi dengan para pengikut dan orang ramai dengan lebih cepat dan real-time. Ketiga, membawa trafik ke laman web untuk ditukarkan dari sekadar menjadi pengunjung kepada pembeli.

Memulakan langkah di laman perniagaan media sosial, anda perlu menyediakan:

  1. Logo. Adakah anda mempunyai logo yang menarik, ringkas, unik, mudah diingati, mudah dikenali, mudah dilukis kembali dan yang tidak seiras dengan logo-logo jenama lain?
  2. Imej banner. Apakah gambar yang terbaik dan sesuai yang anda ingin letakkan pada ruang atas di laman media sosial anda, yang akan membantu menguatkan lagi rasa ingin percaya kepada jenama anda?
  3. Profil. Latar belakang profil syarikat yang lengkap, menarik dan mampu memberikan keyakinan kepada orang yang melihatnya untuk datang lebih dekat lagi. Profil juga sepatutnya menyediakan sebab-sebab mengapa mereka perlu memilih produk dan perkhidmatan anda dan bukannya membeli dari orang lain.
  4. Laman web. Adakah syarikat anda mempunyai laman web, dan adakah anda berpendapat imej anda akan tercalar sekiranya anda masih lagi belum mempunyai laman web sendiri?
  5. Alamat korporat. Adakah alamat korporat anda merupakan alamat kediaman anda, alamat pejabat virtual sahaja atau benar-benar alamat pejabat anda?
  6. Alamat e-mel. Adakah anda mempunyai alamat e-mel korporat atau masih lagi bergantung kepada platform e-mel percuma seperti Gmail, Yahoo ataupun Hotmail?

Setelah selesai, anda perlu memikirkan pula tentang kandungan yang hendak dimuatnaik nanti. Apakah yang anda ingin dilihat, dibaca atau ditonton oleh para pengunjung laman media sosial anda? Kandungan hanya terdiri dari beberapa bentuk – penulisan, video, rekabentuk grafik, poster dan GIF. Sediakan seberapa banyak yang mungkin kandungan sebegini yang secara tidak langsung akan membuatkan para pengunjung laman media sosial anda memahami tentang mesej jenama anda yang cuba disampaikan.

Ini operasi di media sosial secara keseluruhannya:

  1. Memuatnaik status terbaharu setiap hari. Ini sangat penting bagi memastikan anda sentiasa berada dalam pemikiran dan hati para pengikut anda. Status ini pula, anda perlu tahu sama ada ia harus dimuatnaik ke dalam media sosial itu dan berhenti di situ sahaja atau memuatnaik pautan dari laman web anda yang kemudiannya akan membawa para pengunjung keluar ke laman web anda setelah diklik.
  2. Interaksi. Berinteraksi, bersembang dan berseloroh dengan para pengikut anda di ruangan komen pada status-status tertentu yang dimuatnaik untuk mendapatkan kepercayaan mereka terhadap jenama anda.
  3. Kata kunci yang tepat. Menggunakan perkataan dan ayat yang sesuai sangat penting agar enjin pencarian dapat mengindeks perkatan-perkataan tadi dan juga laman media sosial jenama anda akan kelihatan menarik untuk terus dilawati oleh pengguna platform media sosial tersebut. Adakah anda tahu kata-kata kunci yang harus digunakan?
  4. Ajak untuk bertindak. Ini dikenali sebagai call-to-action atau CTA. Memuatnaik status yang berbentuk CTA atau mengajak pengunjung laman media sosial anda itu untuk bertindak setelah membaca status-status yang dimuatnaik sangat penting dalam keadaan ini. Ia adalah satu proses memujuk mereka untuk membeli produk atau perkhidmatan yang anda tawarkan.
  5. Melayani pesanan terus. Untuk membawa para pengunjung untuk menghantar pesanan terus atau direct message amat sukar tetapi tidak mustahil. Sekiranya anda berjaya, ini bermakna perjalanan anda untuk mendapatkan pelanggan berbayar sudah sangat dekat.

Ramai pemilik perniagaan, usahawan kecil dan sederhana mahupun individu korporat berkata, untuk bergerak aktif dalam pemasaran media sosial tidak begitu sukar. Ternyata dengan senarai-senarai di atas, tanggungjawab ini sebenarnya jauh lebih sukar dari yang disangkakan kerana ia adalah satu kerja sepenuh masa.

One comment

Tinggalkan Balasan

Alamat e-mel anda tidak akan disiarkan. Medan diperlukan ditanda dengan *