Bahasa Malaysia

Strategi Pemasaran 2019: Betulkan Keutamaan Anda

Walaupun elemen-elemen ini sangat kecil tetapi ia mampu membantu menjayakan strategi pemasaran anda dengan impak yang tinggi.

Dalam industri pemasaran, tidak pernah ada kaedah yang betul ataupun yang salah. Yang ada, cuma kaedah yang dikenali sebagai best practise. Di sini, terdapat beberapa elemen yang mungkin anda boleh membuat pertimbangan untuk dijadikan keutamaan syarikat dalam menyediakan strategi pemasaran yang jitu dan berkesan bagi tahun 2019.

Walaupun elemen-elemen ini sangat kecil tetapi ia mampu membantu menjayakan strategi pemasaran anda dengan impak yang tinggi.

Fokus kepada tabiat pembelian pengguna. Bagi jenama-jenama amatur, mereka lebih gemar mendapatkan jualan melalui kaedah pemasaran yang mereka rasa sangat efektif. Mereka juga berpendapat dengan cara ini, para pengguna akan lebih tertarik dan seterusnya akan membuatkan mereka membeli. Dengan erti kata lain, mereka meneka. Itu bagi jenama yang berstatus amatur. Ia sangat berbeza dengan jenama-jenama yang lebih profesional. Mereka tidak sesekali membuat sebarang spekulasi atau meneka tentang kaedah yang mereka rasakan terbaik untuk pengguna. Sebaliknya, mereka akan meneliti, membuat kajian dan memerhati para pengguna terlebih dahulu tentang cara mereka membeli. Di sini mereka tahu apa yang pengguna mahukan secara terperinci tanpa perlu meneka. Kemudian, baharu mereka akan merancang dan bertindak melalui strategi yang lebih berkesan, tepat dan sesuai dengan tabiat pengguna.  

Mengapa anda? Kebanyakan jenama kecil dan sederhana juga tidak tahu bagaimana untuk menjawab persoalan yang bakal ditanya oleh para pengguna. Mengapa para pengguna harus membeli dari anda dan bukannya dari orang lain? Ambil sedikit masa dan fikirkan jawapan yang hanya anda sahaja yang memiliki sebab tersebut, yang tidak terdapat pada para pesaing anda.

Kredibiliti. Sekiranya anda menggunakan alamat e-mel dari platform-platform percuma, mungkin kredibiliti jenama anda akan sedikit goyang pada mata pelanggan. Begitu juga lokasi alamat pejabat anda berbunyi seakan-akan alamat rumah, lokasi yang tidak pernah didengar sebelum ini ataupun tiada pejabat langsung – ini bakal mengundang petanda negatif kepada bakal pelanggan untuk menggunakan perkhidmatan atau membeli produk anda. Ada beberapa kriteria lagi yang perlu anda lakukan bagi memastikan kredibiliti anda kukuh. Bukan sahaja alamat e-mel atau alamat pejabat tetapi juga kualiti produk, pengalaman pengguna ketika berurusan dengan anda, kad perniagaan, cara pemakaian anda, cara anda bercakap, perkataan dan ayat yang anda gunakan dan pelbagai lagi.

Fokus kepada ingatan pengguna. Fokus juga harus diutamakan kepada strategi bagaimana untuk memastikan para pengguna akan mengingati jenama anda ketika mereka ingin membeli produk atau perkhidmatan yang anda ada. Ini dikenali sebagai strategi penjenamaan. Kalau logo atau jenama anda tidak berada di dalam fikiran para pengguna pada setiap masa, sebaliknya mereka lebih mengingati jenama pesaing anda sewaktu mereka ingin membeli, mungkin syarikat anda tidak akan bertahan lama selepas ini.

Fokus kepada jualan kecil dan tunai yang berterusan. Sementara anda mengharapkan beberapa projek yang bernilai jutaan ringgit untuk masuk dalam masa beberapa bulan lagi, lebih baik anda fokuskan juga usaha-usaha untuk mendapatkan pendapatan tunai secara harian, mingguan ataupun bulanan secara kecil-kecilan tetapi pada saiz yang banyak. Sekurang-kurangnya ini bakal membantu anda melunaskan beberapa komitmen di rumah, pembayaran bil-bil dan belanja dapur.

Tinggalkan Balasan

Alamat e-mel anda tidak akan disiarkan. Medan diperlukan ditanda dengan *