Bahasa Malaysia

Strategi Pemasaran Digital 2019: Perbualan Di Media Sosial

Kebiasaannya, status anda akan pergi lebih jauh sekiranya keadaan ini terjadi.

Salah satu strategi pemasaran digital yang perlu anda ambil perhatian serius pada tahun ini ialah mendapatkan pelanggan berbayar untuk produk atau perkhidmatan yang disediakan. Dan salah satu platform yang boleh anda gunakan ialah media sosial.

Media sosial kini bukan lagi tempat untuk anda untuk memuatnaik status terbaharu sahaja. Jenama anda atau anda sendiri pasti akan menjadi satu jenama yang membosankan pada pandangan ramai.

Pernah anda alami setiap komen yang anda ‘derma’kan pada status-status yang anda suka di LinkedIn atau Facebook, dan tiada sebarang komen balas dari pemilik posting tadi? Kalau sekali dua tidak mengapa. Tetapi kalau berkali-kali meninggalkan komen tetapi tidak diendahkan oleh pemilik media sosial tadi, anda bukan sahaja akan berasa bosan tetapi marah. Bila angin telah meresap ke badan, anda tentu akan unfollow, meninggalkan dan terus melupakan jenama tersebut.

Biasanya jenama yang melakukan sedemikian rupa ialah selebriti dan jenama-jenama besar yang merasakan mereka ‘macam bagus’.

Jadi, anda dan jenama anda tidak boleh melakukan apa yang mereka lakukan kepada para pengikut mereka di media sosial sekiranya anda bercadang untuk membesarkan jenama anda.

Seperti yang anda sedia maklum, formula untuk mendapatkan perhatian dari pengguna dan membuatkan mereka membeli dari anda ialah AIDA. A untuk awareness atau perhatian. I untuk interest atau minat. D pula untuk desire atau keinginan dan akhir sekali action untuk tindakan.

Formula AIDA adalah formula universal, yang digunapakai oleh hampir semua jenama dan individu yang mahu menggunakan pemasaran sebagai salah satu cara mendapatkan pembeli. Ia bermula dengan aktiviti mendapatkan perhatian pengguna, kemudian dapatkan pula cara untuk menarik minat mereka tentang jenama anda, produk anda ataupun perkhidmatan yang anda sediakan. Sebaik sahaja mereka menunjukkan minat, teruskan usaha anda untuk mendapatkan keinginan mereka terhadap jenama anda. Akhirnya setelah ketiga-tiga faktor ini diperolehi, anda bakal mendapatkan pelanggan berbayar yang anda mahukan selama ini.

Untuk mengambil kesempatan ke atas formula AIDA ini ialah dengan menggunakan media sosial kegemaran anda dan berbual dengan para pengikut anda di platform tersebut. Jangan hanya memuatnaik status terbaharu dan membiarkan komen pengikut anda ‘bergelimpangan’ begitu sahaja. Tetapi memeriahkan status anda dengan membalas komen-komen mereka.

Apa yang bakal berlaku selepas itu?

Hampir pasti mereka akan membalas kembali apa yang anda tulis pada komen mereka tadi dan ini akan bukan sahaja memeriahkan suasana di status tersebut tetapi juga akan memastikan status itu tadi akan kekal berada di News Feed. Algoritma yang wujud pada setiap media sosial lebih gemar kepada status yang dimuatnaik yang mempunyai tahap engagement yang tinggi. Dengan kata lain, status yang mempunyai jumlah Like, komen atau perkongsian yang tinggi, akan kekal berada di News Feed selagi para pengguna menekan butang Like, komen atau berkongsi status tersebut.

Kebiasaannya, status anda akan pergi lebih jauh sekiranya keadaan ini terjadi. Dan berkemungkinan juga ia akan sampai kepada kelompok individu atau syarikat yang bakal menjadi pelanggan anda, pelabur yang ingin membuat pelaburan baharu ataupun ingin menjadi rakan niaga anda dari negara lain.

Tinggalkan Balasan

Alamat e-mel anda tidak akan disiarkan. Medan diperlukan ditanda dengan *