Bahasa Malaysia

Taktik Media Sosial Untuk Bisnes

Strategi penting yang perlu ada untuk anda memulakan pemasaran anda di media sosial.

Ada yang berkata pemasaran melalui media sosial jauh lebih mudah berbanding pengoptimuman enjin pencarian atau SEO. Mungkin ada benarnya kerana kita lebih terdedah kepada ‘permainan’ media sosial berbanding SEO yang biasanya dilakukan oleh para pemasar yang lebih teknikal. Teknik di media sosial juga lebih mudah kepada sesiapa sahaja termasuklah yang tidak begitu teknikal.

Apakah strategi penting yang perlu ada untuk anda memulakan pemasaran anda di media sosial?

Rangkaian yang betul. Pemilihan rangkaian media sosial yang sesuai amat penting. Ia bergantung kepada siapa bakal pelanggan anda. Dengan melihat demografi dan kriteria bakal pelanggan anda dari segi umur, lokasi dan minat serta industri, anda akan sedar di mana mata mereka berada.

Status yang dimuatnaik. Terdapat beberapa jenis status yang anda boleh muatnaik. Pertama, status jalan mati. Ia ditulis pada platform media sosial dan tidak keluar ke tempat lain. Ia boleh ditulis tanpa gambar, bersama gambar ataupun bersama video yang dimuatnaik. Kedua, status ke laman web anda. Ia ditulis dan mempunyai pautan yang membolehkan pengunjung untuk klik dan keluar ke laman web anda. Ketiga, status ke laman web bukan milik anda. Ia ditulis dan mempunyai pautan yang membolehkan pengjunjung untuk keluar ke laman web yang anda masukkan ke dalam status tadi. Dan keempat, status berbentuk CTA atau call-to-action. Status ini ditulis dengan memujuk mereka membeli dan bagaimana cara untuk melakukan pembelian.

Call-to-Action. Call-to-Action ialah strategi untuk ‘menggalakkan’ mereka melakukan sesuatu setelah melihat status yang anda muatnaik. Di media sosial, sebaik-baik call-to-action ialah dengan memujuk mereka untuk menghubungi anda. Jadi, anda perlu menyediakan butang Message sekiranya anda berada di platform Facebook. Di Instagram, Twitter dan LinkedIn pula tidak wujud butang ini, tetapi anda masih boleh menyalurkan message mereka ke laman Messenger pada Facebook Page anda melalui pautan yang disediakan oleh Facebook.

Terdapat juga fungsi Shop, iaitu anda boleh mewujudkan kedai maya anda sendiri seperti yang terdapat di Facebook. Para pengunjung anda boleh terus membeli di sini. Selain dari itu, anda juga boleh memuatnaik status yang membawa para pengunjung anda ke laman kedai maya anda di tempat lain seperti Shopee, Lazada, Lelong dan sebagainya

Interaksi. Jangan menjadi jenama yang membosankan. Memuatnaik status sahaja 24 jam tidak akan membawa anda ke mana-mana. Seelok-eloknya, ceriakan aktiviti media sosial anda dengan berinteraksi dan berbual-bual secara aktif dengan para pengunjung yang meninggalkan komen mereka atau Like mereka di status anda. Dengan interaksi yang aktif juga akan lebih mengeratkan hubungan mereka dengan anda. Ini akan mewujudkan rasa percaya yang lebih baik kepada jenama anda. Dan apabila mereka mula percaya kepada anda, hampir pasti mereka akan membeli dari anda.

Temubual. Status yang dimuatnaik tidak perlu sentiasa satu hala. Sebaliknya anda boleh membuat satu temubual secara e-mel yang boleh dihantar kepada individu yang popular, selebriti, seseorang yang mampu memberi inspirasi kepada orang lain ataupun sesiapa sahaja yang sesuai. Bayangkan apabila dimuatnaik temubual tadi di media sosial anda, individu yang ditemubual tadi pasti akan berasa bangga kerana anda telah membantu menaikkan imej beliau. Secara automatik, status tadi akan juga dikongsi dan anda telah berjaya menembusi rakan-rakan media sosial kepada individu tadi.

Pendapat. Satu contoh yang baik ialah apabila anda ingin membuat logo baharu untuk syarikat anda. Cuba anda rekabentuk beberapa pilihan logo yang anda gemar dan cuba muatnaik kesemua rekabentuk tadi ke media sosial. Kemudian tanya kepada pengikut anda, yang mana satu yang sesuai untuk anda jadikan logo rasmi untuk syarikat anda. Minta pendapat mereka. Hampir pasti ramai yang akan perasan dan ingin membantu anda membuat pilihan. Mereka pasti akan memberikan komen mereka, dan ini akan membantu status tadi untuk lebih tular.

Masa untuk menjawab. Apabila terdapat pertanyaan yang datang ke bahagian komen pada status yang dimuatnaik, ataupun pada kotak pesanan terus anda, jangan dibiarkan soalan itu terlalu lama tanpa jawapan. Orang pasti akan melihat jenama anda sebagai tidak serius.

Ingat, bila dah kaya nanti jangan lupa kawan-kawan.

Tinggalkan Balasan

Alamat e-mel anda tidak akan disiarkan. Medan diperlukan ditanda dengan *