Bahasa Malaysia

Penjenamaan Diri Akan Lebih Berjaya Kalau Tidak Malas

Tampil dengan imej yang menarik tidak kiralah apa pun saiz, bentuk dan ciri-ciri fizikal kita hari ini.

Suka atau tidak, setiap antara kita hari ini adalah satu jenama.

Ya, tanpa bersyarat, tanpa memiliki syarikat, tanpa produk, tanpa logo, tanpa memerlukan sebuah laman web pun. Jenama peribadi merujuk kepada imej dan reputasi kita sendiri sebagai individu. Secara langsung, imej kita sentiasa dinilai, dihukum dan dipandang dengan persepsi yang positif dan kadangkalanya negatif juga.

Sebaik sahaja anda melangkah keluar di awal pagi, secara tidak langsung anda sudah mencorakkan kejayaan masa depan anda tanpa disedari. Perkataan yang dipilih seperti “Malaslah!”, “Saya tiada masa”, “Ahh! Menjaga imej itu tidak penting, tunggu saya dah kaya atau ada nama nanti baru saya akan fikir tentang penampilan saya.” akan menentukan arahtuju dan kejayaan anda nanti.

Penggunaan ayat dan pemilihan perkataan yang betul sangat penting kerana anda telah meletakkan status kejayaan masa hadapan anda 5 tahun ke belakang. Sedangkan yang lain bertungkus lumus untuk maju, anda memilih untuk menjadi sebaliknya.

Impak Visual.

Dalam membina imej yang baik, visual atau penampilan diri kita akan dinilai terlebih dahulu pada pandangan pertama – selain penggunaan bahasa badan, ekspresi muka, intonasi suara dan pilihan perkataan yang dilontarkan. Kombinasi ini semua adalah ‘bahasa badan’ dan komunikasi bukan lisan yang harus dititikberatkan. 

Apa yang terlihat pada pandangan visual, apa yang dibaca, dan didengar tentang seseorang akan terus dinilai, selain pengalaman peribadi yang lalu juga melalui deria secara sentuhan mahupun bau. 

Pastikan pengalaman yang dilalui mereka itu sesuatu yang bernilai, menguntungkan anda malah terus diingati untuk satu jangkamasa yang panjang.

Saranan saya, Sebaik mood malas anda anda datang menjengah, tukarkannya menjadi visual. Bayangkan visual dan keadaan malas anda sendiri di dalam kotak minda. Tidak dapat nak dibayangkan, bukan? Nah, andai diri sendiri pun tidak mampu membayangkan visual tersebut, apa agaknya pandangan orang luar pula.

Katakan pada diri sendiri, 

  1. Kalau saya malas, ia bakal merosakkan imej dan reputasi peribadi saya sendiri.
  2. Kalau saya tiada masa, akan saya awalkan jam loceng untuk memastikan saya ada mempunyai masa sebenarnya.  
  3. Kalau saya ia tidak penting, tiada siapa yang bakal mencorakkan kejayaan peribadi, karier profesional dan bisnes saya kecuali diri saya sendiri.

Sabotaj Imej Peribadi

Tidak dapat dinafikan ramai yang beriya-iya untuk mencapai kejayaan dalam kehidupan mereka. Tetapi percayalah, ramai antara mereka ini sebenarnya dalam diam mensabotaj imej peribadi mereka sendiri tanpa disedari. Sedangkan imej peribadi ini sebahagian besar daripada penjenamaan individu. Kekurangannya, ibarat sebuah kek tanpa hiasan yang nampak seakan-akan sedap, tetapi mengecewakan sebaik sahaja dimakan.

Adakalanya perkara ini terjadi kerana terdapatnya jurang kefahaman tentang  pentingnya untuk seseorang individu itu memantapkan kedua-dua nilai rasional dan nilai emosional diri mereka. Nilai-nilai rasional dalam konteks penjenamaan merujuk kepada pencapaian akademik hari ini, kemahiran, pengalaman lalu dan kekuatan diri. Manakala nilai-nilai emosional pula merujuk keterampilan diri, personaliti dan gaya peribadi anda, dan bagaimana orang ramai berhubung dengan anda secara emosi. Ia menyebabkan mereka mudah suka kepada anda dan percaya untuk berurusan lagi pada peringkat seterusnya.

Menurut ahli ekonomi D.S. Hamermesh di dalam buku beliau, “Beauty That Pays: Why Attractive People Are More Successful” merumuskan bahawa individu yang berketerampilan menarik sering mendapat lebih peluang di dalam kehidupan dan diberikan gaji yang lebih lumayan.

Secara peribadi, saya amat menyokong kenyataan ini kerana ia menggambarkan individu yang berketerampilan menarik ini sebenarnya sanggup meluangkan lebih masa untuk memperbaiki dirinya ke arah yang lebih baik, setiap hari secara konsisten. Dan kerana usahanya yang lebih itu, tidak hairanlah golongan ini mendapat lebih banyak perhatian dan sering mendapat hasil yang lumayan.

Ya, kita tidak boleh menjadi individu yang tinggi, kurus dan cantik bak peragawati mahupun secantik selebriti popular.  Tetapi, kita boleh sahaja tampil dengan imej yang menarik tidak kiralah apa pun saiz, bentuk dan ciri-ciri fizikal kita hari ini.

Gambarkan badan dan muka anda sebagai kanvas kosong. Cuba anda sesuaikan warna, tekstur dan simbol yang boleh mewakili nilai-nilai peribadi dan personaliti peribadi anda sendiri. Jika anda tiada masa untuk diri sendiri, siapa agaknya yang ada masa untuk anda?

One comment

Tinggalkan Balasan

Alamat e-mel anda tidak akan disiarkan. Medan diperlukan ditanda dengan *