Bahasa Malaysia Blog

Bagaimana Buatkan Pengguna Yakin Pada Jenama Anda Dengan Lebih Cepat?

Kuatkan cara bagaimana untuk ‘bermain’ dengan keyakinan orang terhadap anda secara profesional.

Ada beberapa faktor kecil tetapi sangat penting yang boleh anda ubah pada bisnes anda sekarang, untuk buatkan orang lebih percaya dan lebih yakin tentang kredibiliti anda dengan lebih cepat. Bagi anda mungkin faktor ini kecil tetapi bagi bakal pelanggan anda, mereka akan melihat ini sebagai sangat penting dalam menentukan keputusan mereka untuk membeli dari anda ataupun tidak.

  1. Alamat pejabat. Ini penting. Sekiranya mereka bertanya lebih-lebih tentang di mana sebenarnya lokasi pejabat anda walaupun kad perniagaan anda jelas tertulis alamat tersebut, mungkin anda perlu menukar alamat. Lebih baik jika alamat perniagaan anda berada di lokasi-lokasi strategik dan terkenal. Baharu kredibiliti anda akan lebih terserlah dan ini dapat dilihat dari wajah mereka. Lebih esklusif alamat tersebut, lebih baik. Kalau mahal, guna versi virtual sahaja.
  2. Kualiti kertas kad perniagaan. Ini mudah, lebih keras lebih berkualiti pada pandangan pelanggan. Lebih berkualiti bermakna anda boleh dipercayai.
  3. Cara anda berpakaian. Janganlah terlalu menjolok mata, kombinasi tona warna yang bersesuaian, jenis pakaian yang kena pada tempat dan suasana majlis tersebut. Tidak boleh terlalu berlebih-lebih, orang putih kata overdressed or underdressed.
  4. Cara anda berjabat tangan. Ia nampak kecil dan tidak penting, namun secara psikologi ia akan memberikan impak kepada orang yang kita berjabat tangan itu. Cara yang terbaik ialah ia perlu sederhana kuat – tidak terlalu lemah dan tidak pula terlalu kuat. Dan anda perlu genggam sedikit tangan orang yang kita berjabat itu.
  5. Cara berbual. Ini perlu dilakukan seolah-olah kita sangat selesa dengan orang tersebut. Nampak mudah tetapi sebenarnya tidak. Untuk memudahkan anda memulakan perbualan, cari satu atau dua topik yang anda biasa dan juga orang yang anda berbual itu juga biasa dengannya. Kemudian biarkan topik tersebut berlarutan sehingga perbualan ini masuk ke topik lain secara automatik. Ia tidak boleh dipaksa, kecuali anda mahir melakukannya.
  6. Laman web dan media sosial. Biasanya setelah mesyuarat, majlis ataupun perbualan anda selesai, orang tersebut akan membuat sedikit penyelidikan tentang anda melalui kad perniagaan yang anda berikan tadi. Dia ingin tahu anda sebenarnya jenis yang bagaimana. Adakah anda sesuai untuk sesuatu objektif seperti ingin bekerjasama secara profesional, ingin mengajak anda untuk menjadi rakan niaga dan sebagainya. Bentuk penyelidikan yang dilakukan ialah dengan melihat laman web dan juga aktiviti media sosial anda. Dari sini, mereka akan dapat melihat secara kasar siapakah anda sebenarnya, dan tahap kepercayaan yang mereka boleh berikan kepada anda.

Guna formula ini jika anda ingin kuatkan cara bagaimana untuk ‘bermain’ dengan keyakinan orang terhadap anda secara profesional.

Tinggalkan Balasan

Alamat e-mel anda tidak akan disiarkan. Medan diperlukan ditanda dengan *