Bahasa Malaysia Blog

Ketahui Kaedah Pemasaran Anda

Bagaimana pula kaedah pemasaran yang sesuai sekiranya anda merupakan seorang profesional biasa yang sentiasa mengharapkan tawaran pekerjaan baharu yang lebih baik?

Sekiranya anda pemilik kepada jenama produk atau perkhidmatan runcit, anda perlu peka tentang kaedah pemasaran yang bagaimana yang sesuai bagi mendapatkan jualan secara konsisten dan berpanjangan. Begitu juga jika anda pemilik jenama yang mempunyai pelanggan dari sektor korporat, kaedah yang bagaimana pula yang sesuai bagi tujuan tersebut. Bagaimana pula kaedah pemasaran yang sesuai sekiranya anda merupakan seorang profesional biasa yang sentiasa mengharapkan tawaran pekerjaan baharu yang lebih baik?

Masing-masing tidak boleh mempunyai kaedah yang sama atau bakal berhadapan dengan risiko tidak mampu mendapatkan hasil yang dikehendaki dalam masa yang paling diperlukan.

Usahawan perkhidmatan runcit.  Tidak kira sama ada anda menawarkan produk atau perkhidmatan yang berasaskan runcit seperti perkhidmatan kawalan serangga, menjual tudung wanita, kedai dobi layan diri, restoran, kedai runcit, menjual alat tulis, kedai membaiki kenderaan, pelancongan dan sebagainya, anda perlu sedar tentang siapa pelanggan anda. Mereka terdiri daripada golongan indvidu ataupun pemilik perniagaan kecil yang membeli menggunakan wang mereka sendiri. Ini dikenali sebagai pelanggan runcit.

Biasanya di manakah perhatian mereka berada? Platform pemasaran yang paling sesuai untuk golongan pelanggan runcit ini ialah di Facebook, Instagram, dapatkan agen dan direktori-direktori yang terdapat dalam talian. Anda seharusnya mempunyai laman web sendiri juga tetapi sekiranya tidak mampu tidak mengapa. Memandangkan saiz perniagaan anda masih kecil, anda masih boleh dijumpai di Google melalui ketiga-tiga platform ini. Yang penting, anda perlu mengumpul dan membina pengikut anda seramai mungkin di Facebook dan Instagram. Dalam masa yang sama, bina juga seberapa ramai agen yang boleh untuk membantu anda menjual dengan lebih cepat lagi.

Usahawan produk kepada pelanggan-pelanggan korporat. Berbeza pula dengan anda yang mempunyai produk atau perkhidmatan yang sesuai untuk golongan korporat. Biasanya yang membuat keputusan untuk membeli bukan terdiri dari seorang sahaja tetapi mungkin empat orang ataupun lebih. Peruntukan kewangan perlu diluluskan terlebih dahulu dan kata akhir pembelian mungkin perlu diberi kata putus oleh seorang Ketua Pegawai Eksekutif.

Di sini, platform pemasaran yang paling efektif ialah laman web korporat anda, LinkedIn, agen dan juga direktori-direktori yang terdapat dalam talian. Laman web korporat sangat penting di sini kerana individu-individu yang membuat keputusan biasanya akan meneliti terlebih dahulu kredibiliti anda. Kemudian mereka akan meneliti pula kredibiliti anda dan pasukan anda sebagai pekerja syarikat, dan LinkedIn adalah platform yang mereka akan pergi bagi mendapatkan maklumat. Mereka akan melihat bagaimana aktiviti anda di sini, pengaruh anda dan status-status yang anda muatnaik di platform ini.

Agen di sini bermaksud mereka yang memberikan maklumat terkini kepada anda tentang peluang-peluang yang ada di pasaran untuk anda rebut dengan segera, jauh lebih awal dari para pesaing anda yang lain. Manakala direktori-direktori dalam talian pula ialah untuk anda menumpang populariti kedudukan ranking mereka di Google.

Golongan profesional. Satu soalan untuk anda jawab. Di manakah platform eksekutif-eksekutif agensi pekerjaan melepak, ketua-ketua jabatan sumber manusia berada di dalam talian atau individu-individu penting dalam pihak pengurusan tertinggi syarikat-syarikat besar melepak di alam maya? Betul, jawapannya ialah di LinkedIn. Ia merupakan rangkaian media sosial terbesar di dunia bagi golongan profesional. Jadi anda perlu berada di sini. Profil profesional anda perlu berada di sini.

Anda perlu melihat LinkedIn ini seolah-olah satu majlis atau sesi networking profesional di mana berjuta-juta profesional sedang berinteraksi di antara satu sama lain di sini. Bayangkan sekiranya ia wujud secara fizikal, tentu anda akan berpakaian formal dan segak untuk anda menghadiri sesi networking di sini betul? Tetapi memandangkan ia hanya di internet, jadi anda cuma perlu pastikan profil anda yang perlu diutamakan untuk menarik perhatian orang lain. Gambar profil perlu formal, imej banner juga perlu selari dengan gambar profil dan penulisan profil anda juga perlu jelas, kemas dan mudah difahami. LinkedIn bukan seperti Facebook, Twitter atau Instagram dari aspek tingkahlaku anda. Ia lebih formal dan profesional kerana ia bakal melambangkan status anda secara offline juga.

Tinggalkan Balasan

Alamat e-mel anda tidak akan disiarkan. Medan diperlukan ditanda dengan *