English

Penjenamaan: Mengapa Nama Penting?

Beberapa faktor yang anda perlu ambil tahu bagi mendapatkan nama perniagaan yang baik.

Formulanya mudah. Walaupun sehebat mana produk anda sekalipun, kalau nama perniagaan anda sangat susah untuk diingati, tiada gunanya. Ini kerana tiada siapa pun yang akan ingat dan apabila ini berlaku tiada siapapun yang akan kenal apatah lagi datang membeli. Semua orang mempunyai seribu satu benda yang ada dalam kepala masing-masing, jadi amat sukar untuk mereka menyelit benda-benda baharu seperti nama perniagaan anda ke dalam ingatan mereka.

Sebelum kita menjawab mengapa ia penting, jom kita lihat dahulu beberapa faktor yang anda perlu ambil tahu bagi mendapatkan nama perniagaan yang baik.

Suku kata yang mudah. Semakin kurang suku kata, lebih bagus. Contoh yang terbaik ialah jenama seperti Grab dan Coke yang mempunyai sebutan atau suku kata yang sekali sahaja. Mudah bukan? Biasanya untuk mempunyai satu suku kata sebegini agak sukar kerana untuk mencari nama yang bagus biasanya mempunyai sekurang-kurangnya dua suku kata seperti Digi, Nike, Apple dan juga Facebook. Jenama terkenal dunia biasanya mempunyai dua sebutan. Ada juga yang mempunyai tiga sebutan seperti Amazon, Toyota ataupun AirAsia, dan ia masih lagi mudah untuk diingati.

Ejaan yang mudah. Apabila anda dengar sahaja sesiapa menyebut tentang satu jenama contohnya Proton, akan jelas terpampang dalam fikiran anda tentang bagaimana ejaan jenama tadi. Setiap susunan huruf akan jelas ‘kelihatan’ dalam kotak fikiran anda. Ini sangat penting dalam membantu menguatkan lagi ingatan kepada jenama tersebut.

Mudah disebut. Bukan sahaja ejaannya mudah, tetapi ia juga perlu mudah untuk disebut dengan betul tanpa membuatkan lidah anda tergeliat.

Mudah diingati.  Apabila ketiga-tiga faktor di atas, iaitu mempunyai suku kata yang mudah, ejaan juga mudah dan mudah pula disebut, maka secara automatik ia akan menjadi mudah diingati.

Berbalik kepada nama. Dengan berbekalkan faktor-faktor tadi, pembentukan jenama yang kuat akan dapat dilakukan dengan mudah. Dari aspek bagaimana?

Ia mampu kaitkan jenama dengan industri anda. Penjenamaan yang baik ialah apabila pengguna dapat mengaitkan sesuatu jenama itu dengan industri mereka atau dengan produk yang disediakan. Apabila anda terdengar sahaja Toyota, sudah pasti anda tahu yang mereka adalah pengeluar kenderaan sederhana mewah dan mewah dari Jepun. Apa yang anda perlu pastikan ialah nama yang bakal diberikan kepada perniagaan anda perlu sesuai dengan industri anda.

Ia mampu menarik perhatian pengguna di media sosial. Anda sendiri sedar di media sosial semua pengguna tidak mempunyai tempoh perhatian yang lama untuk melihat sesuatu. Mereka lebih gemar membuat tatalan demi tatalan sehingga mereka berjumpa dengan kandungan yang mereka hendak tengok. Dengan mempunyai nama yang baik sebagai jenama perniagaan anda, mungkin ia mampu membuatkan pengguna berhenti untuk melihat apa yang anda tulis dan kongsikan pada orang lain.

Ia mampu menarik kepercayaan pengguna. Bergantung dengan produk dan industri juga, nama yang baik dan sesuai akan mampu menarik perhatian dan kepercayaan orang ramai dengan lebih cepat dan kuat. Bayangkan anda akan mencetak kad perniagaan, dokumen-dokumen yang mempunyai nama dan logo perniagaan anda dalam beberapa ribu keping untuk digunakan nanti. Perkara yang pertama sekali orang akan lihat ialah nama perniagaan anda. Sekiranya disediakan dengan kreatif dan tidak tergopoh-gapah, maka ia akan dilihat terserlah di mata mereka.

Saya mengambil masa hampir sebulan untuk memberikan nama kepada majalah pemasaran saya yang diterbitkan secara digital. Pada mulanya pelbagai nama yang disenaraikan, satu pun tidak sesuai untuk digunakan yang saya mahu ia cukup kuat untuk menarik kepercayaan orang yang melihatnya walaupun buat kali pertama. Akhirnya saya memilih nama Marketing In Asia. Kini, walaupun kurang 6 bulan berada di internet, kekuatannya amat terserlah bukan sahaja pada mata pembaca di seluruh Asia tetapi juga pada mata enjin pencarian Google.  
Ia mampu mewujudkan budaya yang positif. Lihat sahaja bagaimana para pekerja di jenama-jenama besar Malaysia seperti IKEA, AirAsia dan Grab yang amat bangga dengan majikan mereka dan juga dengan pekerjaan yang mereka lakukan di sana. Malah mereka sering kelihatan memakai kemeja T yang jelas tertera mempunyai logo dan jenama pada bahagian hadapan mahupun belakang kemeja T tersebut. Inspirasi, ini yang akan wujud apabila budaya yang positif dipupuk dan ia bermula dari mempunyai nama perniagaan yang baik.

Tinggalkan Balasan

Alamat e-mel anda tidak akan disiarkan. Medan diperlukan ditanda dengan *