Bahasa Malaysia Blog

Apakah Bank Kandungan?

Tempat khas ini dikenali juga sebagai depositori pusat, dan biasanya ia terletak di laman penyimpanan fail-fail di internet.

Bank Kandungan ialah istilah yang digunakan oleh para pemasar digital bagi merujuk kepada satu tempat khas menyimpan bahan-bahan pemasaran. Kandungan dalam perkataan lain juga bermakna bahan pemasaran, seperti artikel, poster, gambar, video dan sebagainya.

Tempat khas ini dikenali juga sebagai depositori pusat, dan biasanya ia terletak di laman penyimpanan fail-fail di internet. Di antara laman penyimpanan fail ini ialah seperti Google Drive, OneDrive, Dropbox, Box dan lain-lain. Setiap platform ini mempunyai saiz yang berbeza-beza. Anda juga boleh membuat pembelian sekiranya saiz yang diperuntukan secara percuma tidak lagi mencukupi untuk menyimpan bahan-bahan pemasaran yang ada.

Setiap bank kandungan perlu diakses dengan mudah dan cepat oleh pelanggan dan juga pemasar-pemasar media sosial yang mengendalikan pelanggan tadi.

Aktiviti di bank kandungan ini juga sentiasa aktif. Pelanggan biasanya akan datang ke bank kandungan ini dan menyimpan bahan-bahan pemasaran terkini dan lain-lain yang ada pada mereka, dan pada masa yang sama para pemasar di NSE akan mengambil setiap bahan yang diletakkan oleh pelanggan tadi untuk digunakan di media sosial setiap hari yang perlu diletakkan pada setiap platform.

Untuk memudahkan pencarian bahan-bahan pemasaran bagi tujuan pemasaran media sosial anda, saya ingin menasihatkan anda untuk mempertimbangkan bank kandungan untuk tujuan tersebut. Jom kita tengok apakah yang sepatutnya ada di dalam bank kandungan yang saya cadangkan ini?

Kata kunci. Folder ini untuk anda menyimpan semua kata-kata kunci atau keywords. Bina beberapa kata kunci yang merujuk kepada perniagaan anda ataupun industri anda. Kata-kata kunci ini boleh disediakan secara pendek, panjang ataupun kedua-duanya. Ia sebenarnya boleh digunakan untuk membuat ayat-ayat pendek dan panjang untuk dimuatnaik di media sosial, penulisan blog ataupun apa sahaja bentuk bahan pemasaran yang memerlukan ayat-ayat yang menarik. Dan kata-kata kunci ini sebenarnya sumber yang terbaik untuk pembinaan ayat-ayat yang menarik tadi.

Penanda aras atau benchmark. Folder ini pula khusus untuk anda menyimpan jenama-jenama yang menjadi aspirasi kepada jenama anda. Anda inginkan jenama anda untuk menjadi jenama yang berjaya, yang sama dengan jenama-jenama tadi. Senaraikan beberapa jenama utama dan masukkan ke dalam folder ini. Mengapa penanda aras ini penting? Bagi saya, anda tidak perlu pecah kepala untuk memikirkan bagaimana untuk ‘bermain’ di media sosial mahupun pemasaran digital untuk berjaya. Apa yang anda perlu lakukan ialah cuma melihat bagaimana jenama-jenama ini lakukan dan belajar dari ‘permainan’ mereka.

Gambar. Kumpul semua gambar yang ada di merata-rata tempat di folder ini. Mudah untuk anda mencari nanti sekiranya anda mahu gunakannya di media sosial pada masa hadapan.

Video. Begitu juga dengan video. Tidak perlu menyimpan di dalam peranti pintar anda kesemuanya kerana setiap satu fail video itu mempunyai saiz yang agak besar. Nanti takut penuh pula storan telefon pintar anda itu. Di laman penyimpanan fail ini, mereka menyediakan storan yang jauh lebih besar berbanding di telefon pintar.

Infografik. Sama seperti gambar, kumpul kesemua infografik yang telah dibina di folder ini. Infografik adalah satu rekabentuk grafik yang dibina bagi menggantikan penulisan artikel. Ia menceritakan setiap bahan itu dalam bentuk visual, yang terdiri dari kombinasi grafik dan penulisan.

Poster. Poster juga satu bentuk bahan yang berbentuk visual yang disediakan melalui rekabentuk grafik. Simpan kesemuanya di folder ini.

Artikel. Penulisan artikel amat penting bagi pemasaran. Jadi folder ini digunakan untuk penyimpanan semua artikel yang ditulis secara panjang.

Jadual status. Saya sama sekali tidak pernah menggalakkan anda memuatnaik status di media sosial secara spontan. Ia bakal mengundang kepada kesilapan dan kadang-kadang ‘bencana alam’. Emosi anda pada masa itu bakal memainkan peranan penting ketika status anda ditulis dan dimuatnaik. Ini tidak bagus untuk jenama anda sekiranya anda mengendalikan media sosial untuk apa jua jenama yang ada. Jadi folder ini digunakan untuk anda menulis segala status media sosial anda lebih awal dan jadualkan setiap satu di sini. Masukkan tarikh dan masa yang spesifik, dan juga bahan apakah yang sesuai untuk dimuatnaik bersama-sama dengan status ini. Berdasarkan jadual ini, anda boleh merancang dengan lebih baik untuk setiap status yang ditulis agar kesilapan-kesilapan dapat dikurangkan.

Tinggalkan Balasan

Alamat e-mel anda tidak akan disiarkan. Medan diperlukan ditanda dengan *