Artikel

Bagaimana Cara Menulis Blog Berimpak Tinggi Dan Menarik

Guna strategi ini.

Saya pernah mencari topik ini di Google. Kalau dalam Bahasa Melayu, hampir tidak ada yang menarik. Kena guna bahasa orang putih, nampak hasilnya sedikit. Itu pun artikel-artikel yang ditulis kebanyakannya tidak praktikal, lebih banyak teori yang diambil dari pembacaan dan bukannya dari pengalaman sendiri. Kena selak sana-sini, baru jumpa yang betul-betul sesuai di hati. Saya lebih gemar membaca artikel-artikel yang ditulis berdasarkan pengalaman penulis atau pengalaman orang lain yang dibaca penulis tersebut kerana lebih mudah bagi saya untuk mengaitkan artikel yang dibaca dengan senario saya sendiri. Kalau anda banyak menghabiskan masa dengan membaca, tentu mudah untuk anda bezakan kualiti sesebuah artikel itu, yang mana kaca dan yang mana permata.

Pada waktu saya mula-mula hendak menulis dahulu saya sering tercari-cari arah tuju yang sesuai. Menulis memang senang tetapi untuk menulis dengan baik memang susah. Tambah-tambah lagi sekiranya saya hendak menulis untuk mendapatkan pendapatan tetap yang stabil.

Alhamdulillah, setelah bergelumang dengan tekun dalam proses mencari maklumat, mencuba beberapa eksperimen berdasarkan maklumat yang dijumpai, menghadapi kegagalan dan kejayaan kecil selama bertahun-tahun, kini saya mampu menjana pendapatan yang stabil melalui penulisan. Betul, memang lama. Hari ini, anda tidak perlu lagi melakukan kesalahan demi kesalahan selama bertahun-tahun untuk mencari formula penulisan blog yang baik bagi menjana pendapatan yang stabil. Melalui artikel ini, saya akan membantu anda.

Guna strategi ini. 

Saya melihat empat faktor ini sangat penting yang saling bergantung antara satu sama lain sebagai elemen kritikal untuk menulis dengan baik. Minat, kebolehan, pengalaman dan pembacaan. Tanpa keempat-empat ini, ia tidak akan menjadi. Saya meminati bidang pemasaran sudah lama, malah saya belajar tentang subjek ini di universiti dahulu dan masih membaca tentangnya hingga hari ini. Saya juga pernah mempunyai bisnes di universiti dahulu. Dan pengalaman ini sangat berharga kerana saya bukan sahaja belajar secara teori tetapi juga mencuba apa yang dipelajari. Ini pengalaman awal saya dalam subjek pemasaran dan perniagaan. Dengan mencampurkan pengalaman awal berniaga, pengalaman ketika bekerja dan pengalaman ketika berniaga sekarang, secara automatik saya dibekalkan dengan begitu banyak cerita. Ini memudahkan saya menulis. 

Penulisan yang baik melalui penceritaan tidak akan meninggalkan impak sekiranya ia tidak diikuti dengan penggunaan ejaan dan tatabahasa yang betul. Sekiranya artikel saya mempunyai terlalu banyak kesalahan ejaan dan tatabahasa yang meloyakan, selera pembaca pasti akan hilang. Mereka akan lari meninggalkan saya dan tidak akan kembali lagi. 

Cara penyampaian juga penting. Untuk membuatkan mata pembaca melekat sehingga habis, ia perlu ditulis seolah-olah kita bertutur dengan seseorang secara santai. Yang penting pembaca tidak akan membaca artikel yang ditulis seolah-olah mereka membaca buku teks sekolah. Tiada siapa yang suka artikel yang membosankan.

Saya tahu, tajuk memainkan peranan penting untuk menarik perhatian pembaca. Tajuk yang baik tidak boleh dibiar bersendirian. Ia perlu disokong kuat oleh perenggan pertama yang baik. Kemudian diikuti dengan perenggan kedua yang baik, ketiga, keempat dan seterusnya sehingga habis. Sekiranya pembaca perasan ada bahagian yang membosankan, habis. Mereka akan berhenti membaca.

Selain perhatian pembaca, saya juga menulis untuk mendapatkan perhatian dari Google. Ini kritikal. Saya mahukan artikel saya berada pada mukasurat pertama dan mudah dijumpai di internet melalui pencarian. 

Bagaimana? 

Saya akan mencari di Google terlebih dahulu tajuk yang ingin ditulis. Apabila saya nampak senarai yang disediakan terpampang pada mukasurat pertama, saya akan memilih satu tajuk yang hampir sama dengan tajuk saya. Kemudian saya akan menulis kembali tajuk artikel saya itu dengan menggunakan perkataan dan ayat yang hampir sama dengan tajuk yang telah dipilih yang mempunyai ranking tinggi tadi. Dalam masa sebulan, saya akan melihat artikel yang saya tulis itu akan turut berada pada mukasurat pertama seperti yang dikehendaki.

Saya melatih diri saya untuk menulis sekerap mungkin setiap minggu. Ada sahaja cerita baharu yang keluar. Alhamdulillah. Hasilnya sangat memuaskan. Bukan sahaja kualiti penulisan saya menjadi semakin baik, ia juga secara tidak langsung dapat menarik lebih ramai pengunjung untuk datang ke laman web saya, laman web di mana saya menjadi penulis jemputan dan juga media sosial saya. Dan yang paling saya suka ialah, pembaca pun dapat duit pun dapat. 

Bagaimana Cara Menulis Blog Berimpak Tinggi Dan Menarik
Click to comment

Leave a Reply

Alamat e-mel anda tidak akan disiarkan. Medan diperlukan ditanda dengan *

Popular

To Top