pexels-photo-4101137.jpeg
Article

Pemulihan Bisnes Tahun 2020, Guna Pakar Yang Ada 6 Kriteria Ini

Pilih sumber jawapan kepada masalah bisnes anda dengan betul

Pada satu petang dalam bulan Ogos tahun lalu ketika di rumah, saya tiba-tiba rasa sakit di bahagian dada. Sakitnya terlalu mendesak yang tidak dapat ditahan-tahan lagi. Ini kali pertama yang saya rasa sedemikian. Saya tahu sakit yang sebegini bukan jenis yang biasa. Ia mungkin serius. Saya tak rasa dengan menelan dua biji pil Panadol kemudian terus baring di dalam bilik akan dapat menyembuhkannya. Jadi dengan pantas, saya meminta bantuan isteri saya untuk menghubungi ambulans untuk membawa saya terus ke hospital dengan segera bagi mendapatkan rawatan. 

Sah, saya terkena serangan jantung. Doktor yang berada di wad kecemasan dan doktor pakar yang mengendalikan kes saya telah mengesahkan perkara ini. Kedua-duanya sangat arif dan berpengalaman tentang hal begini. Kini setelah menjalani rawatan demi rawatan, saya lebih berhati-hati dengan gaya hidup dan mengambil ubat-ubatan secara berterusan pula telah menjadi rutin harian. 

Saya ingin kaitkan apa yang berlaku kepada saya ini dengan bisnes. Kita semua tahu tahun 2020 ini sangat-sangat mencabar bagi hampir setiap peniaga di luar sana. Kita dilanda pelbagai cabaran getir satu demi satu, terutamanya dari aspek jualan yang semakin merudum, ekonomi yang semakin gawat, orang ramai tidak lagi membeli kerana mereka lebih berhati-hati dengan setiap pembelian, pelanggan sedia ada pula sekarang tidak lagi membuat pesanan dengan kita dan pelbagai sebab lain lagi. 

Akhirnya, pendapatan kita sendiri terjejas teruk. 

Mengambil kira senario ini dengan kaitannya dengan cerita serangan jantung tadi, saya lihat ia hampir sama – nak makan Panadol sahaja atau terus dapatkan bantuan. Kita sebagai pemilik bisnes di sini juga mempunyai dua pilihan. Pertama, kita sendiri cuba untuk memperbetulkan apa yang tidak betul di dalam syarikat dengan harapan bisnes kita akan kembali rancak seperti dahulu. Kaedah ini tidak salah, malah ada pemilik bisnes yang berjaya memulihkan bisnes mereka tanpa bantuan luar. Mereka rasa yang mereka lebih arif tentang apa yang berlaku dan faham apa yang perlu dilakukan untuk memperbaiki keadaan yang berlaku.

Namun kebanyakan pemilik bisnes yang lain pula tidak memiliki kehebatan yang sama. Mereka sangat memerlukan bantuan dari pihak ketiga kerana mereka tidak banyak terdedah dengan pelbagai benda yang berlaku di luar kerana setiap hari mereka cuma terdedah kepada apa yang berlaku di dalam syarikat sendiri sahaja. Jadi mereka tidak teragak-agak untuk mendapatkan bantuan dari individu-individu profesional yang lebih arif, pakar dan berpengalaman luas bagi memulihkan keadaan yang ada sekarang. Apa yang mereka perlu lakukan sekarang ialah memilih dengan tepat siapakah yang patut dihubungi untuk menyelesaikan permasalahan bisnes yang wujud. 

Bagi saya, sumber bantuan ini sangat penting. Di luar sana terdapat pelbagai jenis perkhidmatan perundingan yang ditawarkan oleh pelbagai jenis pakar. Ingat, bukan semua pakar mempunyai apa yang diperlukan oleh bisnes kita. Lagipun ada yang penipu, ada juga yang betul.

Dengan siapa pun anda ingin mendapatkan bantuan, sebaik-baiknya ialah teliti terlebih dahulu kredibiliti yang dimiliki oleh perunding tersebut. Enam kriteria yang saya cadangkan ini mungkin akan dapat membantu anda dalam membuat pilihan yang tepat. Ingat, jangan memilih salah satu kriteria ini tetapi pilih penasihat atau juruperunding yang mempunyai kesemua atau sekurang-kurangnya lebih dari separuh daripada kriteria ini.

Kriteria

Pertama, mereka perlu bertauliah. Sekurang-kurangnya memiliki ijazah dan sijil-sijil yang bersesuaian dengan kepakaran yang kita inginkan bantuan darinya. Kedua, dia mesti seorang yang berpengalaman. Kalau setakat teori yang diperolehi hanya dari pembacaan, ia tidak akan membantu. Sebaliknya dengan pengalaman yang luas, ini boleh dijadikan sumber rujukan penting sekiranya sesuatu permasalahan itu tidak dibincangkan dalam mana-mana buku dan penulisan yang ada di luar sana. 

Ketiga, dia juga mesti berpengetahuan luas. Kita boleh tahu sama ada seseorang itu hanya bersembang mengikut teori yang ada di dalam fikirannya ataupun dia memang berpengetahuan tentang topik-topik yang dibincangkan. Keempat, sebaik-baiknya dia juga mempunyai bisnes yang berjaya. Ini sekurang-kurangnya boleh dijadikan contoh yang boleh digunakan oleh kita sebagai pemilik bisnes sebagai pedoman yang orang yang membantu kita ini lebih berjaya dari kita.

Kelima, penjelasan tentang analisis dan strategi yang dirancang untuk digunakan dalam bisnes kita nanti sangat mudah untuk difahami. Tidak semua juruperunding mampu menjelaskan dengan baik tentang hasrat dan strategi yang bakal digunakan itu kepada pelanggan. Perkara terakhir sekali yang kita harus lakukan ialah mengambil juruperunding yang tidak mampu melakukan perkara mudah ini. Dan yang terakhir sekali ialah pendapat juruperunding itu mesti tidak terikat dengan mana-mana jenama produk yang cuba untuk dijual. Ini juga penting.

Tak kisahlah sekiranya juruperunding itu datangnya dari sebuah syarikat gergasi ataupun hanya syarikat kecil, yang penting dia mempunyai kredibiliti seperti yang kita kehendaki dan mampu membantu kita menyelesaikan masalah yang ada dengan baik dengan harga yang mampu kita bayar.

Pemulihan Bisnes Tahun 2020, Guna Pakar Yang Ada 6 Kriteria Ini
Click to comment

Leave a Reply

Alamat e-mel anda tidak akan disiarkan. Medan diperlukan ditanda dengan *

Popular

Marketing Ideas.

© 2020. All Rights Reserved.

To Top