seagulls on river embankment in city
Artikel

Kalau Saya Jadi Anda, Saya Akan Hindar Empat Jenis Pelanggan Ini

Sejak 1997 hingga hari ini, saya telah berjumpa dengan pelbagai jenis manusia

Saya rasa garam yang saya makan selama ini sudah cukup untuk berkongsi nasihat ini dengan anda. Sejak tahun 1997 saya bergelar sebagai seorang pemasar profesional yang bekerja di syarikat-syarikat multinasional terbesar dunia, kemudiannya mula berniaga pada tahun 2011 sehingga hari ini, saya telah berjumpa dengan pelbagai jenis manusia. Saya tidak nafikan ini salah satu kebaikan menjadi seorang pemasar. Mungkin saya juga beruntung apabila sejak dari universiti lagi saya amat gemar membaca buku-buku yang melibatkan tingkahlaku, perangai dan tabiat manusia.

Lebih-lebih lagi sekarang, dengan adanya LinkedIn, kekerapan orang yang ingin berjumpa dengan saya dan saya ingin berjumpa dengan orang semakin menjadi-jadi. Ada yang menjadi sahabat ketawa, sahabat ketika menangis, ada yang menjadi seperti saudara, ada yang menjadi rakan niaga, ada yang jujur, ada yang suka cakap besar dan ada juga yang menjadi pelanggan berbayar yang menggunakan perkhidmatan yang saya sediakan. 

Kepada yang menjadi pelanggan NSE, saya amat berbesar hati bekerjasama dengan mereka. Namun yang dikatakan pelanggan ini, mereka juga terdiri dari pelbagai jenis. Ada yang baik, ada yang memahami, ada yang tidak kisah, ada yang bengis, ada yang tidak boleh bertolak-ansur, ada yang jenis tidak makan saman dan ada juga jenis yang dia seorang sahaja betul. Kategori-kategori ini baru sedikit, itu belum lagi saya senaraikan beberapa lagi yang pernah saya jumpa dan menjadi pelanggan saya.

Dalam banyak-banyak jenis ini, terdapat empat jenis pelanggan yang saya pasti akan hindar walau apa jua keadaan sekalipun. 

Yang tidak dengar cakap. Pelanggan jenis ini yang paling saya pelik. Mereka sanggup membayar perkhidmatan perundingan yang saya sediakan tetapi hampir tidak pernah ingin mendengar nasihat yang disediakan. Terdapat tiga orang pelanggan yang saya terpaksa tamatkan perkhidmatan saya kerana mereka ini terlalu bagus untuk nasihat yang diberikan. Mereka nampaknya lebih tahu daripada orang lain. Ketiga-tiga pelanggan ini tadi rata-rata berumur 70an yang mempunyai wang, mempunyai syarikat sendiri tetapi sangat-sangat degil dan sombong.

Yang bercakap besar tetapi ‘tong kosong’. Jenis ini yang paling saya fobia sekali. Saya sudah dua kali terkena dengan pelanggan yang berpangkat Dato’. Seorang mempunyai syarikat teksi premium yang berpusat di Kuala Lumpur yang berperangai ala samseng dan seorang lagi mempunyai agensi pengiklanan dan syarikat penghantaran makanan Halal yang berhajat besar ingin menawan GrabFood dan Foodpanda. Apabila bercakap, memang keluar api dari mulut. Itu nak buat, ini nak buat. Pung pang pung pang. Tetapi sayang, satu sen pun tidak ada dalam poket untuk membayar malah sanggup menipu untuk mendapatkan perkhidmatan saya dan menggunakannya selama berbulan-bulan tanpa rasa ingin membayar. Dan mereka masih lagi berhutang dengan saya dan angkanya bukan sedikit. Mungkin kualiti yang ada pada pangkat Dato’ di zaman internet ini sudah tidak relevan lagi.

Yang ingin berjumpa dan telefon berkali-kali untuk dapatkan idea. Bercakap dalam telefon dah berkali-kali, jumpa di kafe yang menyediakan kopi mahal juga dah berkali-kali. Idea, pendapat dan nasihat percuma sudah berkepuk-kepuk diberikan dengan ikhlas. Tetapi janji untuk mendapatkan khidmat perundingan pemasaran dengan saya secara formal masih belum lagi dilunaskan. Ada lagi satu jenis lagi yang bercakap manis, menjanjikan kerjasama menang-menang dan kolaborasi antara satu sama lain bagi menjayakan satu projek tertentu tetapi senyap sahaja selepas itu. Idea bernas sudah dapat, pendapat pun sudah dapat tetapi apabila tiba giliran mereka untuk melunaskan apa yang dijanjikan, tiada berita. Senyap terus. Hampa, nampaknya janji hanya tinggal janji. Orang jenis ini tidak layak untuk nombor telefon mereka disimpan dalam simpanan saya. 

Yang perlukan pulangan dalam masa paling singkat. Saya sama sekali tidak akan menerima pelanggan jenis ini. Nampak sangat pelanggan jenis ini seorang yang terdesak. Apabila terdesak dan mereka mengeluarkan wang untuk mendapatkan perkhidmatan pemasaran yang ditawarkan tetapi tidak mendapat pulangan seperti yang dikehendakinya, bersedialah untuk berperang mulut kerana mereka tidak akan berpuashati dengan apa yang telah diusahakan. Lagipun tidak akan ada mana-mana pemasar profesional yang sanggup menjanjikan bulan dan bintang untuk menghasilkan pulangan yang hebat daripada strategi pemasaran yang disediakan dalam masa yang singkat. Sekiranya ada yang sanggup berjanji untuk memberikan pulangan tidak kira sama ada jualan, keuntungan, lebih ramai pengikut di media sosial dan yang sewaktu dengannya, mereka ini adalah penipu besar. 

Ada lagi beberapa jenis pelanggan yang negatif seperti di atas tetapi saya rasa cukuplah dengan keempat-empat ini dahulu. Jenis-jenis ini yang paling utama yang kalau saya jadi anda, eloklah dihindar dari awal lagi. Bagus untuk kesihatan anda juga.

Kalau Saya Jadi Anda, Saya Akan Hindar Empat Jenis Pelanggan Ini
Click to comment

Leave a Reply

Alamat e-mel anda tidak akan disiarkan. Medan diperlukan ditanda dengan *

Popular

To Top