Artikel

Selamatkan Tahun 2020 Anda

Ini cerita saya. Cerita anda bagaimana?

Semalam, saya pulang ke Kangar. Kangar adalah ibu negeri Perlis, negeri yang paling utara tanahair yang bersempadan dengan Negara Thai. Perjalanan bas dari Shah Alam ke Kangar mengambil masa agak lama, hampir lapan jam. Kalau tidur sepanjang perjalanan, boleh biul kepala sebab terlalu lama. Malamnya hendak tidur lagi. Nak tengok drama Korea di Netflix, kekuatan signal 4G tidak terlalu stabil pula. Jadi, berbekalkan iPad, papan kekunci bluetooth dan juga hotspot dari telefon, saya sempat menghabiskan banyak kerja termasuk sempat juga menulis dua artikel untuk laman blog saya. Lapan jam yang tidak begitu terasa bila ada aktiviti yang boleh dilakukan.

Kerja saya habis ketika perjalanan saya menghampiri Alor Setar. Kelihatan susur keluar masuk ke bandar Alor Setar ditutup rapat. COVID-19 memang teruk di bandar ini. Sambil melihat pemandangan sawah padi di luar, saya sempat berfikir tentang apa nak jadi dengan tahun 2020 saya sendiri. Saya banyak mendengar dan melihat sendiri keluhan orang lain tentangnya. Ada yang teruk dan ada yang masih bertahan. Yang tidak terasa bahangnya pun ada juga.

Bagi saya, separuh dari tahun ini berakhir dengan pelbagai drama, kebanyakannya tidak mengembirakan. Bisnes yang jatuh teruk, pelanggan yang berkurangan, pendapatan yang tinggal tidak seberapa, terpaksa menamatkan khidmat beberapa orang pekerja yang ada dan lain-lain lagi cerita-cerita yang tidak begitu seronok didengar. Sepanjang pengalaman saya hampir sepuluh tahun dalam bisnes dan lebih dari sepuluh tahun bekerja di syarikat-syarikat korporat luar negara sebelumnya, ekonomi kali ini sangat terasa. 

Saya ingat hendak tidur sebentar sementara ada satu jam lagi perjalanan untuk ke Kangar dari Alor Setar. Tiba-tiba rasa mengantuk saya hilang. Saya mendapat satu pesanan terus melalui LinkedIn dari seorang bakal pelanggan yang ingin mendapatkan khidmat perundingan NSE berkaitan dengan strategi pemasaran untuk satu syarikat korporat. Beliau ingin berjumpa dengan saya minggu hadapan.

Terus mata saya segar bugar. Nampaknya tidak semua yang berlaku ketika pandemik ini bersifat negatif. Ada banyak juga yang positif sebenarnya. Salah satunya ialah keputusan saya untuk mengubah halatuju NSE daripada terlalu fokus kepada pengurusan media sosial kepada perundingan strategi pemasaran. Keutamaan ini penting kerana dengan menawarkan khidmat perundingan strategi pemasaran kepada sektor korporat, kerajaan, bisnes-bisnes mikro dan sederhana besar, ia merupakan kekuatan sebenar saya dan NSE.  COVID-19 sebenarnya telah menunjukkan kepada saya di mana kekuatan saya sebenarnya. Cuma cara dia nak tunjuk itu bagi saya agak kasar.

Ya, mungkin saya kuat dalam pengurusan media sosial, kuat dalam pembuatan kandungan, kuat dalam penulisan blog yang khusus untuk SEO, namun ini semua bukanlah kekuatan sebenar saya. Kekuatan sebenar saya ialah dalam perundingan atau consultancy yang mendalam tentang penyediaan strategi pemasaran yang berkesan. 

Pemandangan sawah padi memang sangat menenangkan jiwa. Setelah membalas pesanan terus dari pelanggan tadi, sepanjang perjalanan ke Kangar itu baharulah saya betul-betul ‘nampak’ keadaan sebenar. Perubahan takdir ini memang ada hikmahnya. Sebelum ini saya betul-betul tidak nampak apa yang positifnya dari pandemik ini tetapi sekarang baharu saya sedar. Mungkin betul juga kata orang. Kita sebagai seorang manusia sangat perlukan sedikit ‘me time’ atau masa untuk mencongak diri kita sendiri. Lihat kembali keadaan diri kita sekarang dan seterusnya berfikir bagaimana untuk memperkuatkan lagi apa yang ada kepada kehidupan yang lebih baik lagi. Kalau tidak dapat masa yang lama, dapat sekejap pun jadilah. 

Beberapa bulan lalu, saya membantu Adam Malek dengan strategi pemasaran untuk bisnes e-dagangnya. Saya ada menulis satu artikel tentang Adam sebelum ini. Dia menjual alat-alat ganti komputer di Shopee dan Lazada. Sekarang, setelah tiga bulan lebih, bisnes Adam nampaknya semakin kuat dengan pesanan yang diterima hampir setiap minggu. Pelanggannya sekarang bukan sahaja dari Semenanjung Malaysia tetapi sudah ada yang datang dari Sabah dan Sarawak. Saya menolongnya secara percuma, tanpa apa-apa bayaran. Adam sebaliknya memberikan ekuiti sebanyak 20 peratus kepada saya dalam bisnesnya kerana strategi yang ditunjukkan benar-benar membantu. Alhamdulillah. 

Apakah bantuan yang Adam terima? Memandangkan Adam masih terlalu muda, saya tidak dapat bercerita tentang strategi pemasaran yang terlalu kompleks. Jadi saya berkongsi dengannya cara-cara yang sangat mudah, praktikal dan masuk akal. Pemilihan nama, bisnes yang sesuai, kaedah yang perlu digunapakai, cara mendapatkan pembekal, pembayaran dan beberapa elemen lain lagi. Sebenarnya dia ingin menyediakan khidmat membaiki komputer tetapi saya yakinkannya untuk menukar sedikit perancangan itu kepada membekal alat-alat ganti komputer. Hasilnya, sangat menarik.

Kadang-kadang kita rasa strategi bisnes kita betul tetapi sebenarnya ia boleh diperkuatkan lagi dengan mendapatkan pandangan pihak ketiga. Ini kerana kita sebagai pemilik bisnes tidak ‘nampak’ kelemahan-kelemahan yang ada pada strategi kita sendiri. Mungkin kita tidak ada kelemahan tetapi kelemahan itu datangnya dari luar seperti permintaan, persaingan, industri yang semakin tepu dan pelbagai lagi yang mampu membuatkan bisnes kita tidak mampu bertahan lama. 

Sama seperti situasi Adam. Sekiranya dia teruskan juga dengan idea untuk menyediakan khidmat membaiki komputer, dia terpaksa menghabiskan banyak masa dengan upah yang tidak seberapa. Di samping itu, persaingan di luar sana amat-amat sengit. Dan yang paling teruk sekali, pasarannya hanyalah kawasan di sekitarnya sahaja. Dengan sedikit perubahan kepada strategi bisnes, kini pasaran Adam bukan sahaja datangnya dari seluruh negara tetapi ia boleh pergi lebih jauh lagi. Adam juga pernah berkata yang dia ingin mendapatkan bantuan modal dari ibubapanya, tetapi saya menasihatkannya untuk tidak berbuat demikian. Keinginan untuk mendapatkan bantuan kewangan sebenarnya tidak akan berakhir, ia akan wujud sampai bila-bila. Usahawan berjaya pun perlukan bantuan kewangan untuk macam-macam benda yang dia ingin lakukan. Saya memberitahunya, lebih baik fikirkan satu model bisnes yang tidak perlukan modal permulaan yang besar tetapi mampu menjana keuntungan secara berterusan setiap masa dan ketika. Dan saya sarankan dia mulakan dengan alat-alat ganti komputer secara e-dagang terlebih dahulu kerana model bisnes ini sangat berpotensi besar.

Saya juga baharu perasan yang saya sebenarnya sering memberikan strategi demi strategi kepada orang lain. Hampir kesemuanya berjaya dengan gilang gemilang sekali, dan ini semua diberikan secara percuma. Mungkin sebelum ini saya terlalu fokus untuk menjayakan model pengurusan media sosial yang dilihat sangat berpotensi besar sehingga gagal melihat model bisnes perundingan yang juga menarik dan mempunyai potensi yang sama besar. 

Tidak mengapa, kejayaan kecil dengan Adam sangat bermakna bagi saya. Saya anggap ini petanda baik kepada satu permulaan baharu. Pandemik COVID-19 ini telah membuka mata saya dengan besar sekali walaupun ia dilakukan dengan cara ‘main kasar’. 

Bagi menjayakan strategi baharu ini, saya kini lebih gigih menulis di blog sendiri Azleen.com, memperkuatkan lagi tawaran nilai yang ada pada platform perkongsian kandungan saya Marketing In Asia, mengukuhkan penjenamaan peribadi saya di LinkedIn, terus menerus menyediakan petua dan strategi pemasaran mudah kepada pengikut-pengikut saya di sana dan giat memperkembangkan lagi saiz komuniti pengikut saya di semua media sosial. Dengan keseimbangan kekuatan jenama saya di enjin pencarian Google dan di media sosial seperti LinkedIn dan Facebook, saya harap ini akan sedikit sebanyak akan membantu saya dengan halatuju baharu kali ini. Ini strategi saya untuk menyelamatkan tahun 2020 saya. 

Anda bagaimana?

Selamatkan Tahun 2020 Anda
Click to comment

Leave a Reply

Alamat e-mel anda tidak akan disiarkan. Medan diperlukan ditanda dengan *

Popular

To Top