kids making noise and disturbing mom working at home
Artikel

Untuk Mencapai 6 Angka, Bisnes Anda Perlu Ada Empat Freelancer Strategik Ini

Kita sering mendengar pepatah ini di luar sana; Ingin pergi lebih cepat, lakukan seorang diri. Ingin pergi lebih jauh, lakukan bersama-sama. Setelah bertungkus-lumus selama ini seorang diri untuk mencapai tahap sepertimana hari ini, sudah tiba masanya kita mempertimbangkan strategi untuk mempunyai pasukan sendiri.

Bekerja seorang diri tidak akan mampu membuatkan bisnes kita pergi lebih jauh lagi, ini sudah pasti. Kita semestinya tidak akan dapat fokus tentang pembesaran bisnes yang ada kerana terlalu sibuk dengan operasi seharian. Dengan mengurangkan beban-beban ini, kita boleh menikmati rutin harian yang lebih produktif dan dinamik lagi sebagai pemilik bisnes yang berhati besar. Dengan empat freelancer ini mereka akan dapat;

Membantu kerja-kerja rutin secara virtual. Sebagai pemilik bisnes, melakukan kerja-kerja rutin seperti membuat sebutharga, invois, proposal, menghantar ingatan kepada pelanggan untuk bayaran dan mengemaskini dokumen-dokumen tertentu setiap masa adalah sangat tidak produktif. Biasanya ini akan menghabiskan separuh dari masa kita setiap hari. Dan masa ini sepatutnya kita peruntukkan untuk berinteraksi dengan bakal pelanggan, berjumpa dengan pelanggan dan membina rangkaian bisnes agar lebih besar lagi. Pembantu virtual juga jauh lebih murah daripada pembantu fizikal.

Mengurus pemasaran dan media sosial. Sekiranya kita melakukan ini juga, bermakna kita juga akan menghabiskan lebih banyak masa lagi di dalam bisnes kita dan bukannya untuk membesarkan lagi bisnes kita. Latar belakang kita bukan dalam pemasaran dan media sosial. Apatah lagi tentang enjin pencarian, penulisan untuk SEO dan lain-lain lagi. Bukankah kita akan lebih membuang masa jika kita baharu hendak belajar benda yang kita tidak tahu?

Contohnya begini. Misalnya anda adalah pemilik restoran. Maka latar belakang anda sebenarnya adalah dalam masakan ataupun dalam pengurusan restoran. Fokus anda ialah untuk memastikan masakan yang disediakan berkualiti tinggi. Selain daripada ini, anda juga perlu memastikan juga layanan yang diterima pelanggan yang datang makan di restoran anda. Kedua-dua ini sangat penting agar lebih ramai pengunjung akan datang dan keuntungan bisnes anda mampu dipertingkatkan lagi dari masa ke semasa. Jika anda sibuk melakukan ini semua, dan juga ingin merakam video atau merekabentuk grafik untuk media sosial, mengemaskini Facebook dan Instagram lagi, memikirkan apa hendak ditulis di LinkedIn untuk penjenamaan peribadi anda, tidakkah ini semua membuang masa?

Menguruskan akaun dan hal kewangan. Ini juga penting. Dengan meletakkan bebanan harian tentang pengurusan kewangan, penyediaan dokumen-dokumen tertentu untuk cukai pendapatan dan sebagainya kepada seorang freelancer yang mahir tentang ini, bukan sahaja stres kita akan berkurangan, masa yang kita ada juga turut lebih produktif lagi. Dia juga boleh menasihati kita tentang penambahbaikan yang kita boleh lakukan dari aspek kos, perbelanjaan dan bagaimana sepatutnya kita menggunakan pendapatan kita dengan lebih baik lagi.

Membantu anda tentang strategi. Ini bukan kerja freelancer tetapi tanggungjawab seorang Mentor. Dalam bisnes, kita mempunyai dua cara untuk melangkah ke hadapan. Pertama, kita belajar daripada setiap kesilapan dan kesalahan yang kita lakukan. Kedua, kita belajar daripada kesilapan dan kesalahan yang dilakukan oleh orang lain. Kedua-dua cara baik tetapi cara kedua jauh lebih murah dari yang pertama. Lagipun kita tidak perlu membuang masa untuk bangun semula dari setiap kejatuhan, kerana untuk bangun ia biasanya akan mengambil masa yang lama.

Dengan adanya seorang mentor, individu yang berpengalaman dalam bisnes, dalam pemasaran atau dalam industri yang sama dengan kita itu akan mengajar kita cara-cara yang lebih baik melalui maklumat dan tip yang diberikan yang jauh lebih praktikal dan masuk akal dari buku, artikel yang dibaca. Belajar daripada pengalaman, daripada orang yang pernah melakukan sesuatu yang kita sedang lakukan ini adalah jauh lebih baik daripada belajar dari seseorang yang menulis berdasarkan teori sahaja.

Ingat, kita tidak perlu mengupah keempat-empat ini serentak. Mulakan langkah ini secara berperingkat-peringkat mengikut kemampuan kewangan yang ada.

Untuk Mencapai 6 Angka, Bisnes Anda Perlu Ada Empat Freelancer Strategik Ini
Click to comment

Leave a Reply

Alamat e-mel anda tidak akan disiarkan. Medan diperlukan ditanda dengan *

Popular

To Top