business computer connection contemporary
Article

Apabila Banyak Masa Habis Di Internet

Memang rugi

Rugi. Alangkah ruginya apabila berjam-jam dihabiskan melayari Facebook, YouTube, LinkedIn, Google dan Instagram tanpa melakukan sesuatu yang benar-benar bermanfaat kepada diri sendiri dan keluarga. Jangan kata orang lain, ia juga berlaku di dalam rumah saya sendiri. Sedih melihat anak-anak yang mampu memegang telefon bimbit masing-masing berjam-jam melayari laman-laman web kegemaran mereka tanpa melakukan apa-apa. Masa ternyata habis begitu sahaja. Tabiat ini semakin menjadi-jadi pada hari Sabtu dan Ahad.

Kalau hari-hari biasa, keadaan agak terkawal sedikit apabila sekolah mewajibkan mereka mendaftar diri hadir secara dalam talian mengikuti kelas-kelas yang telah ditetapkan dari jam 8.30 pagi sehingga 12 tengah hari. Tetapi selepas itu sehingga ke malam hari, mereka kembali memegang telefon masing-masing. Cuma masa makan dan solat sahaja ia terhenti seketika. Ataupun apabila telefon tadi hampir kehabisan bateri.

Itu keadaan di rumah. Saya juga melihat tabiat yang sama berlaku di luar sana terutamanya di pejabat-pejabat. Tidak kira sama ada di sektor awam mahupun swasta, sama sahaja. Bagaimana saya tahu tentang hal ini? Apabila saya melihat tabiat yang wujud di media sosial untuk saya memuatnaik beberapa status terkini untuk pelanggan, hari yang paling sesuai yang dicadangkan oleh Google Analytics untuk memunatnaik apa juga status di Facebook, LinkedIn, Instagram dan beberapa platform media sosial lain untuk pelanggan-pelanggan saya ialah pada hari-hari biasa dan bukannya di hujung minggu. Dengan kata lain, hari Isnin sehingga Jumaat adalah yang terbaik kerana banyak mata sedang berada di hadapan skrin komputer dan peranti mudah alih masing-masing. Dan waktu atau masa yang sesuai pula ialah di antara lewat pagi sehingga awal malam.

Saya kurang pasti apa yang akan terjadi kepada kerja-kerja yang perlu dihabiskan apabila terlalu banyak masa terluang di internet melalui komputer di pejabat. Adakah ini boleh menggugat produktiviti kerja di pejabat yang telah diamanahkan? Mungkin.

Di sebelah sektor swasta dan bisnes juga sama. Para pemilik bisnes yang sepatutnya menumpukan perhatian mereka kepada menjaga dan penambahbaik kualiti produk, kualiti perkhidmatan, hal-ehwal pekerja, kerja-kerja penghantaran, masalah penghantaran, proses-proses tertentu, kualiti khidmat pelanggan, tentang operasi, tentang jualan dan pelbagai isu-isu dalaman yang serius yang sepatutnya diperhatikan dari masa ke semasa sering diketepikan. Mereka kini lebih gemar untuk menghabiskan masa belajar tentang LinkedIn, mencari kenalan-kenalan profesional baharu di media sosial, belajar untuk menggunakan Facebook dan Instagram untuk bisnes, belajar untuk menulis artikel, belajar untuk menyediakan podcast, belajar untuk merekabentuk grafik dan belajar untuk membina laman web sendiri pula. Memang tidak dinafikan, ini semua membantu mereka membina lebih ramai komuniti dan pelanggan berbayar yang datang membeli tetapi strategi ini lebih mendatangkan kemudaratan berbanding kebaikan. 

Kemudaratan, bagaimana?

Begini. Sebab utama mereka mewujudkan dan membina bisnes yang ada hari ini ialah kerana mereka merasakan yang mereka mempunyai kemahiran, pengetahuan, pengalaman dan kepakaran tentang produk dan perkhidmatan yang mereka jual. Sebagai nakhoda kapal, mereka tahu selok-belok tentang bisnes itu, tentang pasaran di luar sana, tentang pengeluaran dan permintaan, tentang strategi dan taktik serta faktor-faktor yang akan membuatkannya berjaya, tentang bagaimana cara terbaik untuk menjualnya serta tentang siapa sasaran pasaran yang akan datang membeli. Jadi, sebaik-baiknya mereka kekal fokus kepada ekosistem yang melibatkan perkara-perkara ini. Mereka sepatutnya kekal fokus menambahbaik kualiti ekosistem tadi iaitu yang ada sekarang kepada sesuatu yang lebih berkualiti, lebih konkrit dan lebih berdaya tahan serta lebih berjangka-panjang.

Leverage.

Perkara yang terakhir sekali pemilik bisnes patut lakukan ialah membuang masa. Mereka tidak sepatutnya melakukan sendiri perkara-perkara tertentu dengan terperinci. Untuk lebih berjaya, mengambil kesempatan ke atas peluang-peluang yang ada sangat penting. Strategi ini dinamakan leverage. Pemilik bisnes biasanya adalah seorang strategis. Mereka sangat faham tentang sesuatu tetapi mereka tidak begitu mahir apabila ia melibatkan sesuatu yang agak teknikal. 

Pemasaran contohnya. Walaupun mereka sangat arif tentang produk mereka, tentang pasaran yang ada, tentang bagaimana produk mereka sepatutnya dijual dan tentang kriteria-kriteria bakal pembeli, mereka tidak mahir bagaimana cara penulisan dilakukan di media sosial. Mereka tidak mahir bagaimana kualiti dan posisi sesuatu gambar produk itu perlu diambil. Mereka tidak mahir tentang penulisan blog, tentang rekabentuk laman web yang mampu mempengaruhi kemasukan trafik, tentang bagaimana menarik trafik ke laman web, tentang iklan-iklan di media sosial, tentang ranking di Google dan sebagainya. 

Untuk tidak membuang masa dengan mula belajar sedikit demi sedikit tentang kesemua ini dengan mendalam, apa yang sepatutnya mereka lakukan ialah mendapatkan pekerja yang mahir dalam hal-hal tadi. Ya, betul ini akan menambahkan kos bulanan mereka kerana gaji atau upah perlu dibayar tetapi dengan melakukan sendiri akan meningkatkan kos mereka berkali-kali ganda apabila masa yang panjang perlu dihabiskan untuk belajar perkara-perkara ini dari tahap tidak tahu apa-apa kepada tahap betul-betul mahir. Masa itu emas, jadi gunakanlah ia dengan sebaik mungkin. 

Pemasaran nampak mudah tetapi sebenarnya ia memerlukan beberapa orang pekerja mahir sepenuh masa. Elemen-elemen pemasaran seperti strategi, penjenamaan, pembuatan kandungan, rekabentuk grafik, video, penulis, media sosial, e-mel, enjin pencarian, laman web dan iklan bukan sesuatu yang mudah untuk dipelajari. Begitu juga dengan memahami tingkahlaku pembeli pada ketika zaman pandemik ini, ia juga sangat sukar diramal. Jadi anda sebagai pemilik bisnes boleh membuat pilihan, adakah anda sanggup membuang masa belajar kesemua ini atau fokus kepada elemen-lemen bisnes yang anda benar-benar mahir dan jadikan mereka lebih baik?

Tidak salah jika masa kita terluang di internet bagi mendapatkan maklumat tertentu dan terkini sekiranya ia berkaitan dengan bisnes kita. Banyak maklumat boleh diperolehi di Google sekiranya kata kunci yang betul digunakan pada kotak pencarian yang dipaparkan. Namun apabila terlalu lama di internet, perhatian kita pasti akan terpesong ke media sosial. Di sini, kita akan lebih leka dan sedar tak sedar kita telah menghabiskan berjam-jam rupanya.

Jadi, kurangkan masa yang terbuang di internet. Fokus kepada bisnes anda. Dapatkan bantuan jika perlu untuk sesuatu yang lebih teknikal seperti pemasaran di media sosial. Atau sekiranya ada rakan-rakan anda yang mencari pasukan media sosial yang mahir untuk bisnes mereka, kenalkan mereka kepada NSE. Setiap pengenalan akan dibayar MYR50 sebulan selagi mana mereka menggunakan khidmat media sosial NSE.

Apabila Banyak Masa Habis Di Internet
Click to comment

Leave a Reply

Alamat e-mel anda tidak akan disiarkan. Medan diperlukan ditanda dengan *

Popular

Marketing Ideas.

© 2020. All Rights Reserved.

To Top