photo of person wearing converse all star sneakers
Article

3 Benda Ini Bakal Tentukan Nama Bisnes Yang Efektif

Nampak mudah, tetapi sebenarnya tidak

Salah satu persediaan sebelum memulakan apa jua bisnes ialah pemilihan nama. Ia nampak mudah tetapi sebenarnya tidak. Nama yang baik bakal menjadi faktor penentu sama ada ia mampu pergi lebih jauh ataupun tidak. Nama yang baik juga bakal menentukan sama ada ia mampu menyediakan first impression yang baik ataupun tidak. Nama yang baik juga bakal menentukan yang ia seolah-olah jenama yang besar dan kukuh ataupun tidak.

Apple, Spotify, Grab, Netflix, Marketing In Asia, Converse, Hard Rock, AirAsia, Sony, IKEA, Ford dan Starbucks merupakan di antara jenama-jenama besar dalam industri masing-masing, yang pada pendapat saya mempunyai pengaruh yang cukup besar terhadap komuniti mereka. Jenama-jenama ini sentiasa tersemat di fikiran setiap ahli komuniti mereka kerana terdapat beberapa faktor penjenamaan yang sama, yang digunakan oleh mereka. Apakah faktor-faktor tersebut?

Ia perlu sangat mudah.

Mudah yang bagaimana? Ia perlu mudah untuk diingat, mudah dieja dan mudah disebut Jadi ia perlu sependek mungkin. Sebaik-baiknya, ia perlu mempunyai hanya satu suku kata sahaja. Contohnya Grab, Slack, Ford, Swatch dan Lux. Sekiranya tidak ada nama yang sesuai dengan satu suku kata, tidak mengapa. Guna dua suku kata. Contohnya Di-gi, Hard Rock, Star-bucks, So-ny, A-pple dan Net-flix. 

Tidak mengapa sekiranya masih tidak ada lagi yang sesuai. Kita boleh menggunakan nama yang panjang, yang penting ia perlu mudah diingati, mudah dieja dan mudah disebut. Terdapat beberapa jenama besar yang menggunakan nama yang panjang yang kita boleh lihat sebagai contoh. Di antaranya ialah I-KE-A, Dis-co-ve-ry Chan-nel, Ma-lay-sia Air-lines, Pla-net Ho-lly-wood.

Ia boleh dipendekkan dengan huruf-huruf yang unik.

Terdapat beberapa jenama yang agak panjang tetapi mereka mampu memendekkannya dengan menggunakan huruf-huruf yang unik. Kombinasi huruf-huruf ini menjadikan jenama-jenama tersebut ikonik. Contoh yang terbaik yang saya nampak di luar sana ialah Tenaga Nasional yang dipendekkan menjadi TNB, Cable News Network yang dipendekkan menjadi CNN, Amazon Web Services menjadi AWS. Business Network International menjadi BNI dan Bayerische Motoren Werke menjadi BMW.

Ia perlu sesuai dengan perancangan jangka panjang

Di sini kita perlu berhati-hati. Ia sangat bergantung kepada perancangan jangka panjang kita sendiri. Sekiranya kita bercadang untuk mempunyai beberapa bisnes yang berbeza di kemudian hari dan ingin memulakan satu bisnes yang mudah terlebih dahulu contohnya, kita boleh menggunakan kaedah yang dilakukan oleh Google. Mereka menggunakan Google, satu nama yang agak universal tetapi di dalamnya terdapat Google Mail, Google News, Google Meet dan sebagainya. Ataupun kita juga boleh menggunakan nama-nama berbeza untuk setiap bisnes yang dimiliki seperti yang dilakukan oleh Facebook. Mereka mempunyai Facebook, Instagram, WhatsApp dan Messenger tanpa menggunakan nama yang standard seperti yang dilakukan oleh Google.

Ada yang mengatakan yang kita tidak sesuai untuk menamakan bisnes kita menggunakan nama sendiri. Katanya sukar untuk dijual nanti di kemudian hari. Saya kurang bersetuju dengan pandangan ini memandangkan terdapat beberapa jenama besar dunia yang menggunakan nama pemiliknya yang kini menjadi jenama ikonik dunia. Di antaranya ialah Bloomberg, Ford dan Forbes.

Bagi saya yang penting, orang ramai perlu ingat nama bisnes kita dahulu pada saat dan ketika mereka ingin membeli produk dan perkhidmatan yang kita jual. Ini hampir pasti akan menjanjikan jualan yang baik dan berterusan. Pada zaman internet ini, keadaan di luar sana sangat-sangat bising. Tidak ada jenama yang akan mampu membuatkan para pengguna untuk ingat akan jenama-jenama mereka, melainkan jenama itu sendiri menjadikan nama mereka sangat mudah untuk diingati. Keadaan yang semakin sukar ini memerlukan strategi penjenamaan yang sangat kuat dan ia perlu dimulakan dengan nama bisnes yang baik. 

Lihat kembali nama bisnes anda. Kemudian jawab soalan di bawah ini dengan jujur. Tanya juga pada rakan-rakan anda dan minta mereka menjawabnya dengan jujur juga. Adakah ia mudah diingati, mudah untuk dieja dan mudah untuk disebut?

3 Benda Ini Bakal Tentukan Nama Bisnes Yang Efektif
Click to comment

Leave a Reply

Alamat e-mel anda tidak akan disiarkan. Medan diperlukan ditanda dengan *

Popular

Marketing Ideas.

© 2020. All Rights Reserved.

To Top